Tuesday 31 May 2016

TAKAFUL PILIHANKU

Takaful Am merupakan salah satu sistem pengurusan risiko yang ditubuhkan sejak zaman awal Islam lagi. Tujuan utamanya adalah untuk memberikan perlindungan terhadap kerugian yang terpaksa ditanggung oleh peserta sekiranya berlaku bencana atau musibah ke atas harta benda mereka. 


Takaful Am juga merupakan salah satu sistem perlindungan yang diwujudkan untuk melindungi harta benda yang dimiliki oleh individu dan juga organisasi. Pihak pengendali takaful akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam memberikan perlindungan terhadap setiap polisi yang dibeli oleh pelanggan-pelanggan mereka berteraskan syariat Islam.


Di Malaysia sendiri, perniagaan Takaful ini dilihat semakin berkembang dan mendapat perhatian yang meluas daripada masyarakat yang bukan sahaja terdiri daripada masyarakat Islam malah masyarakat bukan Islam juga telah terbuka untuk mengambil manfaat yang bakal diperolehi apabila mengambil apa-apa polisi khususnya dalam Takaful Am.


Sistem Takaful yang diwujudkan sejak sekian lama ini hanyalah bertujuan untuk membantu orang ramai terutamanya di kalangan peserta yang mengalami musibah atau kerugian harta benda yang mereka miliki berkonsepkan syariat yang dibolehkan dalam Islam. Hal ini berbeza dengan sistem operasi yang dilakukan dalam insurans konvensional yang secara jelas bertentangan dengan syariat Islam dan hanya bermatlamatkan untuk keuntungan sahaja.



Oleh itu, dengan pemahaman dan ilmu pengetahuan yang kita ada berkenaan sistem pengurusan risiko yang wujud ini, kita seharusnya memilih pelan perlindungan yang ditawarkan oleh syarikat takaful yang telah mendapat pengesahan daripada bank negara dan badan-badan syariah yang tertentu sahaja. 


Pelanggan boleh membuat pilihan sama ada ingin memilih pelan-pelan perlindungan yang ditawarkan dalam takaful am atau takaful keluarga yang secara jelasnya bebas daripada unsur riba, gharar dan maisir serta mematuhi dan menepati segala syariat Islam berbanding dengan insurans konvensional.

Monday 30 May 2016

MENGAPA PERLU MILIKI TAKAFUL

Ini adalah antara sebab mengapa kita perlu memiliki pelan perlindungan untuk diri dan keluarga. Kita perlu bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan bagai 'sediakan payung sebelum hujan'. Memiliki takaful tidak bermaksud kehidupan kita akan terus senang tanpa cabaran. Tidak. tetapi, dengan memiliki takaful, bebanan yang kita hadapi apabila ditimpa musibah dapatlah diringankan sedikit melalui bantuan daripada sebahagian duit peserta-peserta takaful yang mencarum dalam syarikat takaful yang sama. 





Antara ujian kehidupan manusia, sakit.



Sesungguhnya kematian itu pasti.



Musibah yang tidak terduga, kebakaran.




Berikut adalah antara isu yang tidak kita nafikan sememangnya sering berlaku dalam kalangan masyarakat kita masa kini. Dengan memiliki takaful, bebanan yang ditanggung peserta sedikit terubat. Walau telah termaktub dalam polisi takaful dan insurans, prinsip indemniti digunakan iaitu menyediakan pampasan kewangan kepada peserta yang ditimpa musibah supaya mangsa dapat merasai keadaan kewangan yang hampir sama seperti sebelum berlaku kerugian. Namun begitu, jika peserta mengambil pelan daripada takaful, semestinya wang pampasan yang diterima itu adalah halal dan jauh daripada riba.


Isu-isu diatas adalah antara gambaran mengapa kita perlu mengambil perlindungan takaful. Ini kerana musibah dan kemalangan boleh datang dari pelbagai bentuk bencana seperti kemalangan, kematian, kebakaran, penyakit berbahaya dan sebagainya. Menyertai skim takaful atau insurans Islam yang disediakan bukan merugikan bahkan memberi kelebihan di kala kita sangat memerlukan kerana ia berkonsepkan tolong-menolong, bantu-membantu dengan cara yang dibenarkan syariat Islam.

Friday 27 May 2016

PRODUK-PRODUK TAKAFUL AM

PRODUK-PRODUK DALAM TAKAFUL AM


Dalam Takaful Am khususnya, terdapat beberapa produk utama yang ditawarkan kepada pelanggan untuk dimanfaatkan antaranya adalah pelan takaful motor, pelan kebakaran, empunya rumah, isi rumah serta pelan kemalangan diri. 

(a) Takaful Motor

            Pelan takaful motor adalah satu pelan perlindungan yang ditawarkan oleh pihak pengendali takaful kepada orang ramai untuk memberikan perlindungan terhadap apa-apa kerugian atau kemusnahan yang berlaku kepada kenderaan mereka disebabkan kebakaran, kecurian atau kemalangan. Pelan takaful motor ini juga akan memberikan perlindungan kepada pihak ketiga yang mengalami kecederaan atau kematian, kerosakan serta kerugian harta benda mereka. 

            Merujuk kepada apa yang dimaksudkan dengan pihak ketiga ialah orang lain yang mengalami apa-apa kecederaan atau terpaksa menanggung kerugian, kerosakan disebabkan kemalangan yang melibatkan kenderaan orang lain. Pihak ketiga boleh dirujuk kepada pejalan kaki, pemandu lain atau penumpang yang berada di dalam kenderaan lain. 

Konsep yang diaplikasikan dalam pelan takaful motor adalah di mana para peserta akan mencarum sejumlah wang kepada mana-mana syarikat takaful yang diambil oleh mereka dalam bentuk caruman penyertaan secara tabarru’. Bentuk caruman penyertaan secara tabarru’ dalam takaful motor ini adalah di mana peserta akan membuat satu akad perjanjian yang menyatakan bahawa mereka bersetuju untuk saling membantu peserta-peserta lain jika berlaku sebarang kerugian atau kemalangan yang melibatkan kenderaaan mereka. Melalui konsep Tabarru’ ini, pihak pengendali takaful akan menggunakan wang yang ada dalam tabung Tabarru’ untuk diberikan kepada peserta-peserta lain yang mengalami sebarang kemalangan atau musibah ke atas kenderaan mereka apabila mereka membuat tuntutan.

           
(b) Pelan Perlindungan Kebakaran

            Pelan perlindungan kebakaran ini adalah satu perlindungan yang ditawarkan oleh syarikat takaful kepada peserta di mana mereka akan memberikan perlindungan terhadap sebarang risiko kerosakan dan kerugian yang berlaku kepada harta benda peserta. Perlindungan ini akan diberikan kepada peserta yang terpaksa menanggung kerugian dan kerosakan ke atas harta benda atau aset-aset yang mereka ada seperti rumah, kilang, gudang, premis perniagaan dan sebagainya yang berpunca daripada kebakaran, kilat, letupan dan lain-lain. 


            Pembayaran ke atas setiap kerugian dan kerosakan harta benda yang terpaksa ditanggung oleh peserta disebabkan kebakaran, letupan dan sebagainya boleh dituntut oleh peserta kepada syarikat takaful yang terlibat sebaik sahaja kejadian tersebut berlaku. Apabila peserta membuat tuntutan, pihak takaful akan menilai terlebih dahulu nilai kerugian dan kemusnahan harta benda yang harus ditanggung oleh mereka peserta. Selepas pihak takaful mengenal pasti jumlah kerugian dan kerosakan yang sebenarnya, maka pampasan akan diberikan kepada peserta sesuai nilai kerugian yang terpaksa ditanggung oleh mereka. Pampasan yang akan diberikan oleh pihak takaful adalah sama ada berbentuk wang ataupun menggantikan semula harta benda yang musnah tersebut. 

(c) Pelan Empunya Rumah

            Takaful empunya rumah ini merupakan perlindungan yang ditawarkan oleh syarikat takaful kepada peserta untuk melindungi rumah kediaman mereka daripada apa-apa kerugian atau kerosakan akibat kebakaran, banjir, gempa bumi dan sebagainya. Perlindungan dalam takaful empunya rumah yang ditawarkan ini juga bukan sahaja melindungi rumah kediaman malah turut melindungi kawasan luar rumah seperti garaj, pintu pagar serta kelengkapan rumah yang kekal. 

Peserta yang mengambil pelan takaful empunya rumah ini haruslah memastikan jumlah caruman dan perlindungan yang diambil adalah bersesuaian dan menggambarkan kos pembinaan semula rumah sekiranya berlaku apa-apa kerugian atau kerosakan ke atas rumah. Kebiasaannya setiap produk perlindungan yang ditawarkan oleh syarikat takaful kepada peserta adalah bersifat jangka pendek iaitu selama 12 bulan. 


(d) Pelan Isi Rumah

Takaful isi rumah ini adalah satu perlindungan yang akan diberikan kepada peserta apabila mengalami kerugian atau kerosakan kepada rumah kediaman dan juga perlindungan kepada peserta itu sendiri terhadap kecederaan maut yang berlaku di rumah mereka. Takaful isi rumah juga hanya akan melindungi kawasan rumah dan orang yang berada di rumah itu sahaja dan tidak akan melindungi bangunan lain yang digunakan untuk tujuan komersial seperti kedai makan, kilang dan sebagainya


(e) Pelan Kemalangan Diri

 Pelan perlindungan ini hanya akan melindungi peserta sekiranya berlakunya kematian, hilang keupayaan kekal atau kecederaan disebabkan kemalangan ke atas mereka. Takaful kemalangan diri ini adalah perlindungan yang bersifat jangka pendek bagi suatu tempoh perjalanan yang mana ianya merangkumi apa-apa kemalangan sepanjang perjalanan sama ada di seluruh dunia, 24 jam sehari berdasarkan syarat dan terma yang telah ditetapkan oleh syarikat takaful. Pelindungan yang ditawarkan untuk takaful kemalangan diri berbeza mengikut syarikat-syarikat takaful yang ada.


(f) Lain-lain Produk

            Takaful Am juga menawarkan pelbagai produk perlindungan sampingan seperti takaful marin, takaful udara, takaful liabiliti majikan dan takaful liabiliti awam. 

Thursday 26 May 2016

APAKAH KEPENTINGAN TAKAFUL?

MENGAPA PENTING UNTUK KITA MEMILIKI TAKAFUL?

Dalam kehidupan sehari-hari, kita tidak dapat menduga bencana yang akan menimpa kita kerana ia tidak memberi petanda atau amaran sebelum ianya datang kepada kita seperti peribahasa "malang itu tidak berbau", tidak mengenal usia dan siapa mangsanya. Justeru, wajib ke atas kita untuk berwaspada dengan segala kemungkinan-kemungkinan yang tidak diingini berlaku. Keperluan untuk memiliki takaful adalah sebagai satu persediaan ketika kita ditimpa musibah seperti kata pepatah "sediakan payung sebelum hujan". Di bawah ini adalah satu video yang menunjukkan bahawa betapa perlunya kita memiliki takaful.




Melalui analogi yang disampaikan dalam video di atas, maka jelaslah betapa pentingnya untuk kita memiliki pelan perlindungan takaful.

Memiliki pelan perlindungan diri tidak terasa apabila tidak ditimpa musibah, namun apabila ditimpa musibah, pastikita akan sedar betapa pentingnya memiliki pelan perlindungan diri,keluarga, harta benda, motor dan sebagainya.


Saturday 14 May 2016

PERBEZAAN TAKAFUL AM DAN INSURANS AM

 JADUAL PERBEZAAN TAKAFUL AM DAN INSURANS AM

BIL
PERBEZAAN
TAKAFUL AM
INSURANS AM
1.

Hukum
Berteraskan konsep syariah dan dibenarkan dalam Islam.
Bertentangan dengan konsep syariah dan difatwakan oleh Majlis Fatwa sebagai haram.
2.

Perbelanjaan Operasi
Perbelanjaan operasi ditanggung oleh dana pemegang saham di bawah konsep Mudharabah atau dikenakan caj kepada peserta sebagai bayaran pendahuluan tetap di bawah konsep Wakalah.
Penanggung insurans akan mengenakan caj perbelanjaan operasi kepada kumpulan wang insurans am.
3.

Pelaburan Dana
Wang caruman peserta akan dilaburkan oleh pengendali takaful dalam pelaburan yang patuh syariah.
Wang caruman peserta bebas dilaburkan ke mana sahaja kerana tiada pengawasan syariah.
4.

Keuntungan Operasi
Keuntungan operasi akan dibahagikan kepada pengendali takaful dan peserta mengikut nisbah yang dipersetujui dalam kontrak yang dibuat.
Semua keuntungan operasi akan dikreditkan ke dalam dana pemegang saham.
           
 Perlindungan yang ditawarkan dalam takaful am dan insurans am adalah berkonsepkan memberi jaminan dan bantuan kepada pelanggan yang mengambil apa-apa polisi perlindungan daripada pihak mereka sekiranya terjadi kemalangan atau musibah tertentu kepada diri mereka dengan memberikan bantuan dalam bentuk kewangan. Namun terdapat beberapa perbezaan yang dapat dikenalpasti dalam takaful am dan insurans am.

            Antara perbezaan utama yang dilihat dalam kedua-dua produk ini ialah dari segi hukum dalam Islam di mana dalam Takaful Am segala aplikasi yang dijalankan adalah berteraskan kepada syariat Islam dan umat Islam dibolehkan untuk mengaplikasikan sistem takaful dalam kehidupan. Manakala insurans pula telah difatwakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sebagai perniagaan pengurusan risiko yang haram dan tidak dibolehkan untuk orang Islam mengambilnya kerana sistem ini berteraskan riba, gharar dan maisir yang telah dilarang dalam agama Islam. Hal ini demikian kerana akad yang digunakan dalam insurans berteraskan kepada jual beli sedangkan tiada apa-apa produk yang dikeluarkan melainkan hanya risiko yang perlu ditanggung oleh peserta sekiranya terjadinya sesuatu musibah. 

Perkara ini jelas berbeza dengan takaful di mana ianya menggunakan akad Tabarru’, Wakalah dan Mudharabah yang dibenarkan dalam Islam. Sistem takaful menjadikan kontrak Tabarru’ sebagai asas dalam perkhidmatan yang diberikan oleh syarikat takaful kepada pelanggan mereka. Al-Tabarru’ bermaksud menderma, membuat kebajikan atau mengurniakan sesuatu dengan rela hati untuk tujuan berbakti dan membantu. Oleh itu, konsep sistem Takaful itu sendiri adalah merujuk kepada perhubungan persaudaraan antara peserta-peserta lain yang mencarum dan bersetuju untuk saling membantu antara satu sama lain.

 Wakalah pula ialah seseorang yang menyerahkan sesuatu urusan dari pihaknya kepada orang lain terhadap benda atau perkara yang boleh diwakilkan menurut syarak agar orang yang diwakilkan itu dapat melakukan sesuatu yang diserahkan kepadanya selagi yang menyerahkan wakil itu masih hidup. Hal ini diaplikasikan oleh syarikat takaful apabila mereka diwakilkan oleh peserta untuk menguruskan wang caruman peserta dalam akaun mereka. Mudhrabah pula ialah akad antara dua pihak yang mengandungi penyerahan harta oleh seseorang kepada seseorang yang lain untuk diusahakan dengan berkongsi untung dengan syarat-syarat yang tertentuKontrak Mudharabah dalam takaful dapat dilihat apabila pengendali takaful akan menggunakan sebahagian wang peserta untuk tujuan pelaburan dan keuntungan yang akan diperoleh akan dikongsi bersama mengikut nisbah yang dipersetujui oleh kedua belah pihak.

            Seterusnya perbezaan yang ada dalam takaful am dan insurans am ialah dalam perbelanjaan operasi. Dalam insurans am, segala perbelanjaan operasi akan dikenakan oleh pihak yang bertindak sebagai penanggung insurans atau dikenali sebagai syarikat insurans ke atas kumpulan wang insurans am yang telah dibayar oleh peserta kepada mereka. Wang setiap peserta akan diambil oleh pihak insurans tanpa penggunaan sebarang akad yang mematuhi syariah untuk membayar segala perbelanjaan operasi yang digunakan semasa mengendalikan polisi perlindungan yang diambil oleh peserta.

Perkara ini berlainan dengan sistem takaful di mana pihak pengendali takaful akan menjelaskan kepada peserta yang mencarum bahawa bayaran operasi yang dikenakan ke atas mereka adalah menggunakan kontrak yang dibenarkan dalam Islam seperti kontrak Mudharabah di mana segala perbelanjaan operasi ditanggung oleh dana pemegang saham iaitu peserta. Pihak takaful juga akan meminta bayaran pendahuluan tetap daripada peserta menggunakan kontrak wakalah. Melalui kontrak Wakalah ini pihak takaful mengenakan sedikit bayaran atas perkhidmatan yang diberikan kepada peserta di mana pihak pengendali takaful bertindak sebagai wakil kepada peserta dalam menguruskan wang yang dicarum oleh mereka di dalam Takaful Am.

Di samping itu, perbezaan yang boleh dilihat dalam sistem takaful am dan insurans am ini ialah melalui pelaburan dana. Merujuk kepada pelaburan dana dalam insurans, syarikat insurans bebas menggunakan wang caruman peserta yang mengambil polisi dengan mereka untuk melaburkan wang tersebut tanpa sebarang pengawasan daripada pihak-pihak tertentu. Justeru itu wang tersebut akan dilaburkan dalam semua jenis instrumen pelaburan tidak kira sama ada ianya mematuhi syariah atau tidak termasuklah pelaburan yang berteraskan perjudian dan sebagainya yang secara jelas telah dilarang oleh Allah. Pelaburan dana dalam takaful pula akan diuruskan oleh pengendali takaful di mana mereka akan menggunakan separuh daripada wang caruman peserta untuk dilaburkan ke dalam instrumen pelaburan yang bertepatan dengan syariat Islam dan syarikat-syarikat pelaburan yang telah mendapat pengiktirafan patuh syariah oleh Suruhanjaya Sekuriti sahaja. 

 Akhir sekali antara beberapa perbezaan yang dapat dilihat antara takaful am dan insurans am ialah berkaitan dengan keuntungan operasi. Seperti yang kita sedia maklum, setiap pelaksanaan dan perkhidmatan yang ditawarkan dalam takaful adalah berteraskan kepada kontrak yang dibenarkan dalam Islam seperti Mudharabah, Wakalah, Tabarru’ dan sebagainya. Oleh itu, pembahagian setiap keuntungan yang diperoleh juga akan dibahagikan mengikut kadar-kadar yang telah ditetapkan semasa melakukan akad-akad tersebut. Sebagai contoh dalam sistem takaful, apabila tibanya akhir tahun sekiranya terdapat lebihan atau keuntungan daripada operasi yang dijalankan oleh pengendali takaful, setiap keuntungan itu akan diberikan kepada pengendali takaful dan peserta yang berhak berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui bersama ketika melakukan kontrak dahulu. 

Manakala dalam sistem insurans pula, semua keuntungan operasi yang diperoleh akan dimasukkan ke dalam dana pemegang saham tanpa melakukan sebarang pembahagian ke atas keuntungan yang diperoleh. Perkara ini menyebabkan peserta tidak akan berhak ke atas segala keuntungan yang diperoleh. Hal ini kerana pihak insurans tidak menggunakan apa-apa akad yang dibenarkan dalam Islam berkaitan tentang perkongsian keuntungan operasi. 


Justeru itu, jelaslah kepada kita bahawa sistem takaful dan insurans ini mempunyai beberapa perbezaan terutamanya dari segi hukum, perbelanjaan operasi, pelaburan dana dan juga keuntungan operasi. Oleh itu, melalui perbezaan yang dikemukakan ini diharap dapat membantu umat Islam khususnya dalam membuat pilihan untuk tidak memilih perlindungan risiko yang berteraskan konvensional yang secara terang-terangan tidak mematuhi segala syariat yang telah ditetapkan dalam Islam. 

Tuesday 10 May 2016

MAKLUMAT RINGKAS TAKAFUL KELUARGA

JENIS-JENIS PERLINDUNGAN YANG DITAWARKAN TAKAFUL

1-      Takaful keluarga  
  •     melibatkan penyediaan perlindungan dan simpanan ke atas individu yang bernyawa (sedari usia 14 hari - 88 tahun).
  •     merupakan perlindungan dan simpanan jangka panjang.
  •     manfaat untuk diri kita dan keluarga.

2-      Takaful am      
  •      melibatkan perlindungan ke atas objek yang tidak bernyawa yang disediakan oleh syarikat takaful.
  •       contohnya takaful kenderaan, rumah dan juga takaful harta benda.




TAKAFUL KELUARGA 

-          Perlindungan asas                   
  •       perlindungan bersifat mandatory (wajib)
  •       contohnya – kematian & kecacatan kekal (total permanent disablement). 

-          Perlindungan tambahan          
  •       bersifat pilihan (optional)
  •     contohnya – elaun harian hospital / tabung   penyakit kritikal / tabung kemalangan diri / kad perubatan Takaful.


PERLINDUNGAN TAKAFUL KELUARGA (3 JENIS):

  • Takaful keluarga individu (bersifat perseorangan) 
  • Takaful keluarga berkumpulan (bersifat majikan,kelab persatuan,kesatuan dan sebgainya)
  • Takaful keluarga rider (pelan tambahan)


  
PELAN TAMBAHAN (RIDER) TAKAFUL KELUARGA

Secara kiasannya, perlindungan asas takaful adalah seperti sebuah kereta manakala rider adalah seperti ABS atau air-bag yang ditambah untuk memberikan perlindungan yang lebih baik kepada pemandu kereta berkenaan, namun begitu ia bukan kemestian dan bukan prasyarat untuk kereta tersebut berfungsi dengan baik, dan ia juga tidak boleh berfungsi secara sendirian tanpa adanya kereta.

Kebiasaannya pelan Rider adalah berkaitan kesihatan:
-          Ikhlas Critical Illness Takaful Rider Plus (Takaful Ikhlas)
-          Immediate Death Takaful Rider Plus (Takaful Ikhlas)
-          MTWI - Penyakit Wanita (MAA Takaful)
-          MTHS - Manfaat Hospital & Pembedahan (MAA Takaful)





PERKARA ASAS YANG PERLU DIKETAHUI SEBELUM MEMOHON MANA-MANA POLISI 

i) Berapa bayaran sebulan?

ii) Berapa tahun yang perlu dibayar. Berapa lama kontrak anda dengan takaful sebenarnya?

iii) Berapa amaun pampasan/perlindungan dalam RM yang akan dilindungi oleh takaful yang melibatkan perlindungan asas dan juga perlindungan tambahan.


iv) Berapa jumlah simpanan yang terkumpul yang boleh dikeluarkan mengikut tahun caruman.

Thursday 5 May 2016

PRINSIP KONTRAK TAKAFUL AM

Kontrak takaful am mengamalkan empat prinsip utama insurans am iaitu kepentingan boleh lindung, penuh percaya, prinsip indemniti dan prinsip subrogasi. Dalam masa yang sama, konsep keadilan dan prinsip-prinsip am lain tetap diaplikasi semasa berurusan selagimana ianya tidak bercanggah dengan syariah Islam.

(a)Kepentingan Boleh Lindung.
Di dalam kontrak insurans, mereka menggunakan konsep kepentingan boleh insurans. Manakala di dalam takaful pula menggunakan konsep kepentingan boleh lindung. Peserta hanya boleh mentakafulkan hak yang benar-benar haknya. Peserta tidak boleh sama sekali mentakafulkn harta orang lain. Secara mudahnya, kepentingan boleh lindung wujud apabila ada hubungan antara peserta dengan perkara yang ditakafulkan. Prinsip ini adalah antara yang terpenting bagi memastikan kesahihan apabila peserta terlibat dalam mana-mana kontrak takaful di Malaysia. Tujuan prinsip ini adalah bagi mengelakkan seseorang mendapat keuntungan daripada harta orang lain dan mencegah bahaya moral di kalangan peserta takaful. 

(b)Penuh Percaya.
Seterusnya, prinsip yang diamalkan dalam kontrak takaful adalah penuh percaya. Semua pihak yang terlibat dengan kontrak takaful yang terdiri daripada peserta dan pengendali takaful mesti memberi maklumat yang benar dan mesti mendedahkan segala input-input penting samada pada peringkat permulaan kontrak, pertengahan serta sepanjang proses tuntutan dibuat

 Kegagalan dalam memberi dan mendedahkan fakta-fakta penting yang benar akan mengakibatkan kontrak yang dipersetujui itu terbatal. Sekiranya pengendali takaful sendiri yang melakukan kesilapan dengan memberikan kenyataan yang salah kepada peserta, ia akan mengakibatkan hukuman jenayah di bawah undang-undang. Ini merupakan prinsip asas dalam kontrak takaful yang memerlukan setiap pihak yang terikat dengan kontrak mestilah bersikap telus dengan setiap fakta yang diberikan. 

(c)Prinsip Indemniti.
Prinsip ketiga adalah prinsip indemniti. Sepertimana insurans, prinsip ini memulihkan insured kepada kedudukan asal. Walaupun begitu, ia tidak akan menjadikan insured itu lebih baik daripada keadaan sebelumnya. Dalam skim takaful, prinsip ini adalah bertujuan menyediakan pampasan kewangan kepada peserta yang ditimpa musibah supaya mangsa dapat merasai keadaan kewangan yang hampir sama seperti sebelum berlaku kerugian. Prinsip ini hanya menggantikan kerugian sahaja dan bukanlah untuk memberi keuntungan daripada tuntutannya. Selain itu, pengendali takaful berhak mengambil semula lebihan pampasan yang telah dibayar kepada peserta. Prinsip indemniti ini hanya terdapat di dalam kontrak takaful am sahaja. 

(d)Prinsip Subrogasi.


Prinsip terakhir yang diamalkan dalam kontrak takaful am adalah prinsip subrogasi. Prinsip subrogasi bermaksud hak seseorang untuk bertindak bagi pihak orang lain dengan miliki semua hak dan remedinya. Prinsip ini selalunya berkaitan dengan orang ketiga. Di dalam kontrak takaful, hak pengendali takaful bertindak di tempat peserta selepas penyelesaian tuntutan untuk membuat tuntutan balas kepada pihak ketiga. Sekiranya pihak ketiga telah membayar sebahagian jumlah, maka pihak pengendali takaful perlu membayar baki tuntutan sahaja. Ini kerana dalam prinsip ini, skim takaful mempunyai hak untuk menuntut ganti rugi daripada pihak ketiga yang bertanggungjawab terhadap kerugian yang berlaku. Tujuan prinsip subrogasi ini adalah bertujuan untuk memastikan peserta tidak raih keuntungan daripada tuntutan. Prinsip ini juga tidak digunakan di dalam takaful keluarga dan pelan kemalangan diri, hanya takaful am semata. 

Tuesday 3 May 2016

KONSEP ASAS TAKAFUL

Bagi setiap kontrak yang melibatkan kewangan, institusi tersebut pasti memiliki konsep-konsep asas yang tertentu dan yang bersesuaian sebagai penanda aras dalam melaksanakan perjalanan organisasi mereka. Maka, di dalam kontrak takaful juga tidak terlepas daripada memiliki konsep asas mereka sendiri.

Konsep asas takaful adalah merujuk kepada 3 kontrak utama iaitu:

i)                    Tabarru’at.
Bermaksud menderma secara ikhlas. Di dalam konteks takaful, konsep tabarru’at ini bersyarat iaitu setiap peserta yang ingin menyertai takaful mestilah menderma sesuai dengan risiko yang dibawanya. Setiap peserta yang menyertai pelan takaful ini, mereka perlu bersedia menderma sebahagian wang keahlian mereka kepada ahli-ahli lain jika ditimpa kemalangan atau musibah. Begitu juga saat mereka ditimpa musibah, duit daripada ahli-ahli lain juga turut digunakan untuk membantu mereka sendiri.

ii)                  Wakalah.
Dari segi bahasa wakalah bermaksud perwakilan. Dari segi istilah, wakalah bermaksud memelihara, menjamin, menjaga, menyerahkan dan mengganti. Dari segi syarak, ia merujuk kepada “Satu pihak menyerahkan sesuatu urusan yang boleh diwakilkan mengikut syarak kepada pihak yang lain ketika pihak yang pertama itu masih hidup”. Jika di dalam konteks takaful ini, peserta mewakilkan agen takaful untuk menggunakan wang mereka sebaik mungkin samada untuk membantu peserta lain yang memerlukan atau melabur wang untuk mendapat keuntungan yang patuh syariah.

iii)                Al-Mudharabah.
Membawa erti perjanjian berkontrak antara pemberi modal dan pengusaha untuk tujuan menjalankan perniagaan dengan kedua-dua pihak bersetuju atas peratusan pembahagian keuntungan. Di dalam takaful, pemberi modal adalah peserta dan pengusaha modal adalah agen takaful. Agen takaful akan melaburkan sebahagian wang yang dicarum peserta, seterusnya keuntungan daripada pelaburan akan dibahagikan kepada nisbah yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. 







Friday 29 April 2016

PERBEZAAN INSURANS DAN TAKAFUL

Secara amnya, insurans dan takaful dilihat sama dari segi tujuannya iaitu membantu, melindungi diri peserta sekiranya ditimpa musibah. Akan tetapi, pada hakikatnya terdapat perbezaan antara kedua-dua pelan perlindungan tersebut terutamanya dari segi hukum perlaksanaannya. Sepertimana yang kita tahu, di dalam pelan insurans terdapat tiga perkara yang sangat ditegah dan dilarang Allah iaitu riba, gharar dan maisir. 




Terdapat terlalu banyak ayat-ayat amaran daripada Allah mengenai balasan orang yang kehidupan sehariannya bersangkutan dengan riba. Janji Allah adalah benar dan Allah adalah sebaik-baik Penjanji. Sungguh laknat dan kemurkaan Allah serta azab yang teramat pedih bagi sesiapa yang urusan dunianya terlibat dengan aktiviti riba.

Justeru, sebagai umat Islam yang beriman dengan Allah, Rasulullah dan percaya dengan kehidupan di hari akhirat, maka wajib ke atas kita untuk tinggalkan segala yang dilarang Allah demi keamanan di dunia dan kehidupan di akhirat. Sungguh pengorbanan untuk meninggalkan sesuatu yang dilarang itu susah, tetapi ingatlah kita siapa yang menciptakan kita dan kepada siapa kita akan dikembalikan. 

Semoga dengan huraian video di atas, kita dapat memilih pelan perlindungan yang terbaik untuk kehidupan kita di dunia dan di akhirat. Walau tujuan kedua-dua pelan kontrak tersebut adalah bersifat kebajikan tetapi dasar hukumnya yang membezakan intipatinya.

Thursday 28 April 2016

DEFINITION OF INSURANCE AND ISLAMIC INSURANCE



Insurance is a contract, also an agreement between a person and a company, represented by a policy. This agreement is about payment which is the person need to make a regular payments to the company by monthly and the company will pay the reparation if the person is injured or dies. In addition, the company also will pay money to the property or liability if it is damaged, stolen or lost or something injury caused to a third party.


Same going to Islamic insurance. The term that use to the Islamic insurance is Takaful. Takaful's word comes from the Arabic language thats mean the mutual guarantee, which involves a group of participants agreed to mutually insure themselves or certain losses. The members in takaful contribute the money into the takaful company to guarantee each other against loss or damage. Takaful-branded insurance is based on Sharia which is Islamic law. Takaful companies or Islamic insurance companies were introduced as an alternative for those who want the protection plan which go against the interest(riba), gambling(maisir), and uncertainty(gharar) that are prohibited in Islamic law.