Saturday 14 May 2016

PERBEZAAN TAKAFUL AM DAN INSURANS AM

 JADUAL PERBEZAAN TAKAFUL AM DAN INSURANS AM

BIL
PERBEZAAN
TAKAFUL AM
INSURANS AM
1.

Hukum
Berteraskan konsep syariah dan dibenarkan dalam Islam.
Bertentangan dengan konsep syariah dan difatwakan oleh Majlis Fatwa sebagai haram.
2.

Perbelanjaan Operasi
Perbelanjaan operasi ditanggung oleh dana pemegang saham di bawah konsep Mudharabah atau dikenakan caj kepada peserta sebagai bayaran pendahuluan tetap di bawah konsep Wakalah.
Penanggung insurans akan mengenakan caj perbelanjaan operasi kepada kumpulan wang insurans am.
3.

Pelaburan Dana
Wang caruman peserta akan dilaburkan oleh pengendali takaful dalam pelaburan yang patuh syariah.
Wang caruman peserta bebas dilaburkan ke mana sahaja kerana tiada pengawasan syariah.
4.

Keuntungan Operasi
Keuntungan operasi akan dibahagikan kepada pengendali takaful dan peserta mengikut nisbah yang dipersetujui dalam kontrak yang dibuat.
Semua keuntungan operasi akan dikreditkan ke dalam dana pemegang saham.
           
 Perlindungan yang ditawarkan dalam takaful am dan insurans am adalah berkonsepkan memberi jaminan dan bantuan kepada pelanggan yang mengambil apa-apa polisi perlindungan daripada pihak mereka sekiranya terjadi kemalangan atau musibah tertentu kepada diri mereka dengan memberikan bantuan dalam bentuk kewangan. Namun terdapat beberapa perbezaan yang dapat dikenalpasti dalam takaful am dan insurans am.

            Antara perbezaan utama yang dilihat dalam kedua-dua produk ini ialah dari segi hukum dalam Islam di mana dalam Takaful Am segala aplikasi yang dijalankan adalah berteraskan kepada syariat Islam dan umat Islam dibolehkan untuk mengaplikasikan sistem takaful dalam kehidupan. Manakala insurans pula telah difatwakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sebagai perniagaan pengurusan risiko yang haram dan tidak dibolehkan untuk orang Islam mengambilnya kerana sistem ini berteraskan riba, gharar dan maisir yang telah dilarang dalam agama Islam. Hal ini demikian kerana akad yang digunakan dalam insurans berteraskan kepada jual beli sedangkan tiada apa-apa produk yang dikeluarkan melainkan hanya risiko yang perlu ditanggung oleh peserta sekiranya terjadinya sesuatu musibah. 

Perkara ini jelas berbeza dengan takaful di mana ianya menggunakan akad Tabarru’, Wakalah dan Mudharabah yang dibenarkan dalam Islam. Sistem takaful menjadikan kontrak Tabarru’ sebagai asas dalam perkhidmatan yang diberikan oleh syarikat takaful kepada pelanggan mereka. Al-Tabarru’ bermaksud menderma, membuat kebajikan atau mengurniakan sesuatu dengan rela hati untuk tujuan berbakti dan membantu. Oleh itu, konsep sistem Takaful itu sendiri adalah merujuk kepada perhubungan persaudaraan antara peserta-peserta lain yang mencarum dan bersetuju untuk saling membantu antara satu sama lain.

 Wakalah pula ialah seseorang yang menyerahkan sesuatu urusan dari pihaknya kepada orang lain terhadap benda atau perkara yang boleh diwakilkan menurut syarak agar orang yang diwakilkan itu dapat melakukan sesuatu yang diserahkan kepadanya selagi yang menyerahkan wakil itu masih hidup. Hal ini diaplikasikan oleh syarikat takaful apabila mereka diwakilkan oleh peserta untuk menguruskan wang caruman peserta dalam akaun mereka. Mudhrabah pula ialah akad antara dua pihak yang mengandungi penyerahan harta oleh seseorang kepada seseorang yang lain untuk diusahakan dengan berkongsi untung dengan syarat-syarat yang tertentuKontrak Mudharabah dalam takaful dapat dilihat apabila pengendali takaful akan menggunakan sebahagian wang peserta untuk tujuan pelaburan dan keuntungan yang akan diperoleh akan dikongsi bersama mengikut nisbah yang dipersetujui oleh kedua belah pihak.

            Seterusnya perbezaan yang ada dalam takaful am dan insurans am ialah dalam perbelanjaan operasi. Dalam insurans am, segala perbelanjaan operasi akan dikenakan oleh pihak yang bertindak sebagai penanggung insurans atau dikenali sebagai syarikat insurans ke atas kumpulan wang insurans am yang telah dibayar oleh peserta kepada mereka. Wang setiap peserta akan diambil oleh pihak insurans tanpa penggunaan sebarang akad yang mematuhi syariah untuk membayar segala perbelanjaan operasi yang digunakan semasa mengendalikan polisi perlindungan yang diambil oleh peserta.

Perkara ini berlainan dengan sistem takaful di mana pihak pengendali takaful akan menjelaskan kepada peserta yang mencarum bahawa bayaran operasi yang dikenakan ke atas mereka adalah menggunakan kontrak yang dibenarkan dalam Islam seperti kontrak Mudharabah di mana segala perbelanjaan operasi ditanggung oleh dana pemegang saham iaitu peserta. Pihak takaful juga akan meminta bayaran pendahuluan tetap daripada peserta menggunakan kontrak wakalah. Melalui kontrak Wakalah ini pihak takaful mengenakan sedikit bayaran atas perkhidmatan yang diberikan kepada peserta di mana pihak pengendali takaful bertindak sebagai wakil kepada peserta dalam menguruskan wang yang dicarum oleh mereka di dalam Takaful Am.

Di samping itu, perbezaan yang boleh dilihat dalam sistem takaful am dan insurans am ini ialah melalui pelaburan dana. Merujuk kepada pelaburan dana dalam insurans, syarikat insurans bebas menggunakan wang caruman peserta yang mengambil polisi dengan mereka untuk melaburkan wang tersebut tanpa sebarang pengawasan daripada pihak-pihak tertentu. Justeru itu wang tersebut akan dilaburkan dalam semua jenis instrumen pelaburan tidak kira sama ada ianya mematuhi syariah atau tidak termasuklah pelaburan yang berteraskan perjudian dan sebagainya yang secara jelas telah dilarang oleh Allah. Pelaburan dana dalam takaful pula akan diuruskan oleh pengendali takaful di mana mereka akan menggunakan separuh daripada wang caruman peserta untuk dilaburkan ke dalam instrumen pelaburan yang bertepatan dengan syariat Islam dan syarikat-syarikat pelaburan yang telah mendapat pengiktirafan patuh syariah oleh Suruhanjaya Sekuriti sahaja. 

 Akhir sekali antara beberapa perbezaan yang dapat dilihat antara takaful am dan insurans am ialah berkaitan dengan keuntungan operasi. Seperti yang kita sedia maklum, setiap pelaksanaan dan perkhidmatan yang ditawarkan dalam takaful adalah berteraskan kepada kontrak yang dibenarkan dalam Islam seperti Mudharabah, Wakalah, Tabarru’ dan sebagainya. Oleh itu, pembahagian setiap keuntungan yang diperoleh juga akan dibahagikan mengikut kadar-kadar yang telah ditetapkan semasa melakukan akad-akad tersebut. Sebagai contoh dalam sistem takaful, apabila tibanya akhir tahun sekiranya terdapat lebihan atau keuntungan daripada operasi yang dijalankan oleh pengendali takaful, setiap keuntungan itu akan diberikan kepada pengendali takaful dan peserta yang berhak berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui bersama ketika melakukan kontrak dahulu. 

Manakala dalam sistem insurans pula, semua keuntungan operasi yang diperoleh akan dimasukkan ke dalam dana pemegang saham tanpa melakukan sebarang pembahagian ke atas keuntungan yang diperoleh. Perkara ini menyebabkan peserta tidak akan berhak ke atas segala keuntungan yang diperoleh. Hal ini kerana pihak insurans tidak menggunakan apa-apa akad yang dibenarkan dalam Islam berkaitan tentang perkongsian keuntungan operasi. 


Justeru itu, jelaslah kepada kita bahawa sistem takaful dan insurans ini mempunyai beberapa perbezaan terutamanya dari segi hukum, perbelanjaan operasi, pelaburan dana dan juga keuntungan operasi. Oleh itu, melalui perbezaan yang dikemukakan ini diharap dapat membantu umat Islam khususnya dalam membuat pilihan untuk tidak memilih perlindungan risiko yang berteraskan konvensional yang secara terang-terangan tidak mematuhi segala syariat yang telah ditetapkan dalam Islam. 

No comments:

Post a Comment