Friday 27 May 2016

PRODUK-PRODUK TAKAFUL AM

PRODUK-PRODUK DALAM TAKAFUL AM


Dalam Takaful Am khususnya, terdapat beberapa produk utama yang ditawarkan kepada pelanggan untuk dimanfaatkan antaranya adalah pelan takaful motor, pelan kebakaran, empunya rumah, isi rumah serta pelan kemalangan diri. 

(a) Takaful Motor

            Pelan takaful motor adalah satu pelan perlindungan yang ditawarkan oleh pihak pengendali takaful kepada orang ramai untuk memberikan perlindungan terhadap apa-apa kerugian atau kemusnahan yang berlaku kepada kenderaan mereka disebabkan kebakaran, kecurian atau kemalangan. Pelan takaful motor ini juga akan memberikan perlindungan kepada pihak ketiga yang mengalami kecederaan atau kematian, kerosakan serta kerugian harta benda mereka. 

            Merujuk kepada apa yang dimaksudkan dengan pihak ketiga ialah orang lain yang mengalami apa-apa kecederaan atau terpaksa menanggung kerugian, kerosakan disebabkan kemalangan yang melibatkan kenderaan orang lain. Pihak ketiga boleh dirujuk kepada pejalan kaki, pemandu lain atau penumpang yang berada di dalam kenderaan lain. 

Konsep yang diaplikasikan dalam pelan takaful motor adalah di mana para peserta akan mencarum sejumlah wang kepada mana-mana syarikat takaful yang diambil oleh mereka dalam bentuk caruman penyertaan secara tabarru’. Bentuk caruman penyertaan secara tabarru’ dalam takaful motor ini adalah di mana peserta akan membuat satu akad perjanjian yang menyatakan bahawa mereka bersetuju untuk saling membantu peserta-peserta lain jika berlaku sebarang kerugian atau kemalangan yang melibatkan kenderaaan mereka. Melalui konsep Tabarru’ ini, pihak pengendali takaful akan menggunakan wang yang ada dalam tabung Tabarru’ untuk diberikan kepada peserta-peserta lain yang mengalami sebarang kemalangan atau musibah ke atas kenderaan mereka apabila mereka membuat tuntutan.

           
(b) Pelan Perlindungan Kebakaran

            Pelan perlindungan kebakaran ini adalah satu perlindungan yang ditawarkan oleh syarikat takaful kepada peserta di mana mereka akan memberikan perlindungan terhadap sebarang risiko kerosakan dan kerugian yang berlaku kepada harta benda peserta. Perlindungan ini akan diberikan kepada peserta yang terpaksa menanggung kerugian dan kerosakan ke atas harta benda atau aset-aset yang mereka ada seperti rumah, kilang, gudang, premis perniagaan dan sebagainya yang berpunca daripada kebakaran, kilat, letupan dan lain-lain. 


            Pembayaran ke atas setiap kerugian dan kerosakan harta benda yang terpaksa ditanggung oleh peserta disebabkan kebakaran, letupan dan sebagainya boleh dituntut oleh peserta kepada syarikat takaful yang terlibat sebaik sahaja kejadian tersebut berlaku. Apabila peserta membuat tuntutan, pihak takaful akan menilai terlebih dahulu nilai kerugian dan kemusnahan harta benda yang harus ditanggung oleh mereka peserta. Selepas pihak takaful mengenal pasti jumlah kerugian dan kerosakan yang sebenarnya, maka pampasan akan diberikan kepada peserta sesuai nilai kerugian yang terpaksa ditanggung oleh mereka. Pampasan yang akan diberikan oleh pihak takaful adalah sama ada berbentuk wang ataupun menggantikan semula harta benda yang musnah tersebut. 

(c) Pelan Empunya Rumah

            Takaful empunya rumah ini merupakan perlindungan yang ditawarkan oleh syarikat takaful kepada peserta untuk melindungi rumah kediaman mereka daripada apa-apa kerugian atau kerosakan akibat kebakaran, banjir, gempa bumi dan sebagainya. Perlindungan dalam takaful empunya rumah yang ditawarkan ini juga bukan sahaja melindungi rumah kediaman malah turut melindungi kawasan luar rumah seperti garaj, pintu pagar serta kelengkapan rumah yang kekal. 

Peserta yang mengambil pelan takaful empunya rumah ini haruslah memastikan jumlah caruman dan perlindungan yang diambil adalah bersesuaian dan menggambarkan kos pembinaan semula rumah sekiranya berlaku apa-apa kerugian atau kerosakan ke atas rumah. Kebiasaannya setiap produk perlindungan yang ditawarkan oleh syarikat takaful kepada peserta adalah bersifat jangka pendek iaitu selama 12 bulan. 


(d) Pelan Isi Rumah

Takaful isi rumah ini adalah satu perlindungan yang akan diberikan kepada peserta apabila mengalami kerugian atau kerosakan kepada rumah kediaman dan juga perlindungan kepada peserta itu sendiri terhadap kecederaan maut yang berlaku di rumah mereka. Takaful isi rumah juga hanya akan melindungi kawasan rumah dan orang yang berada di rumah itu sahaja dan tidak akan melindungi bangunan lain yang digunakan untuk tujuan komersial seperti kedai makan, kilang dan sebagainya


(e) Pelan Kemalangan Diri

 Pelan perlindungan ini hanya akan melindungi peserta sekiranya berlakunya kematian, hilang keupayaan kekal atau kecederaan disebabkan kemalangan ke atas mereka. Takaful kemalangan diri ini adalah perlindungan yang bersifat jangka pendek bagi suatu tempoh perjalanan yang mana ianya merangkumi apa-apa kemalangan sepanjang perjalanan sama ada di seluruh dunia, 24 jam sehari berdasarkan syarat dan terma yang telah ditetapkan oleh syarikat takaful. Pelindungan yang ditawarkan untuk takaful kemalangan diri berbeza mengikut syarikat-syarikat takaful yang ada.


(f) Lain-lain Produk

            Takaful Am juga menawarkan pelbagai produk perlindungan sampingan seperti takaful marin, takaful udara, takaful liabiliti majikan dan takaful liabiliti awam. 

No comments:

Post a Comment