Thursday 5 May 2016

PRINSIP KONTRAK TAKAFUL AM

Kontrak takaful am mengamalkan empat prinsip utama insurans am iaitu kepentingan boleh lindung, penuh percaya, prinsip indemniti dan prinsip subrogasi. Dalam masa yang sama, konsep keadilan dan prinsip-prinsip am lain tetap diaplikasi semasa berurusan selagimana ianya tidak bercanggah dengan syariah Islam.

(a)Kepentingan Boleh Lindung.
Di dalam kontrak insurans, mereka menggunakan konsep kepentingan boleh insurans. Manakala di dalam takaful pula menggunakan konsep kepentingan boleh lindung. Peserta hanya boleh mentakafulkan hak yang benar-benar haknya. Peserta tidak boleh sama sekali mentakafulkn harta orang lain. Secara mudahnya, kepentingan boleh lindung wujud apabila ada hubungan antara peserta dengan perkara yang ditakafulkan. Prinsip ini adalah antara yang terpenting bagi memastikan kesahihan apabila peserta terlibat dalam mana-mana kontrak takaful di Malaysia. Tujuan prinsip ini adalah bagi mengelakkan seseorang mendapat keuntungan daripada harta orang lain dan mencegah bahaya moral di kalangan peserta takaful. 

(b)Penuh Percaya.
Seterusnya, prinsip yang diamalkan dalam kontrak takaful adalah penuh percaya. Semua pihak yang terlibat dengan kontrak takaful yang terdiri daripada peserta dan pengendali takaful mesti memberi maklumat yang benar dan mesti mendedahkan segala input-input penting samada pada peringkat permulaan kontrak, pertengahan serta sepanjang proses tuntutan dibuat

 Kegagalan dalam memberi dan mendedahkan fakta-fakta penting yang benar akan mengakibatkan kontrak yang dipersetujui itu terbatal. Sekiranya pengendali takaful sendiri yang melakukan kesilapan dengan memberikan kenyataan yang salah kepada peserta, ia akan mengakibatkan hukuman jenayah di bawah undang-undang. Ini merupakan prinsip asas dalam kontrak takaful yang memerlukan setiap pihak yang terikat dengan kontrak mestilah bersikap telus dengan setiap fakta yang diberikan. 

(c)Prinsip Indemniti.
Prinsip ketiga adalah prinsip indemniti. Sepertimana insurans, prinsip ini memulihkan insured kepada kedudukan asal. Walaupun begitu, ia tidak akan menjadikan insured itu lebih baik daripada keadaan sebelumnya. Dalam skim takaful, prinsip ini adalah bertujuan menyediakan pampasan kewangan kepada peserta yang ditimpa musibah supaya mangsa dapat merasai keadaan kewangan yang hampir sama seperti sebelum berlaku kerugian. Prinsip ini hanya menggantikan kerugian sahaja dan bukanlah untuk memberi keuntungan daripada tuntutannya. Selain itu, pengendali takaful berhak mengambil semula lebihan pampasan yang telah dibayar kepada peserta. Prinsip indemniti ini hanya terdapat di dalam kontrak takaful am sahaja. 

(d)Prinsip Subrogasi.


Prinsip terakhir yang diamalkan dalam kontrak takaful am adalah prinsip subrogasi. Prinsip subrogasi bermaksud hak seseorang untuk bertindak bagi pihak orang lain dengan miliki semua hak dan remedinya. Prinsip ini selalunya berkaitan dengan orang ketiga. Di dalam kontrak takaful, hak pengendali takaful bertindak di tempat peserta selepas penyelesaian tuntutan untuk membuat tuntutan balas kepada pihak ketiga. Sekiranya pihak ketiga telah membayar sebahagian jumlah, maka pihak pengendali takaful perlu membayar baki tuntutan sahaja. Ini kerana dalam prinsip ini, skim takaful mempunyai hak untuk menuntut ganti rugi daripada pihak ketiga yang bertanggungjawab terhadap kerugian yang berlaku. Tujuan prinsip subrogasi ini adalah bertujuan untuk memastikan peserta tidak raih keuntungan daripada tuntutan. Prinsip ini juga tidak digunakan di dalam takaful keluarga dan pelan kemalangan diri, hanya takaful am semata. 

1 comment: